Friday, June 12, 2009

Pengusaha bot pelancong, 14 nelayan dalam dilema

Pengusaha bot pelancong, 14 nelayan dalam dilema
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my

KUALA BERANG: Sejumlah 16 pengusaha bot pelancong dan 14 nelayan tasik di Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud di sini, bimbang memikirkan nasib mereka yang bakal kehilangan mata pencarian selepas pihak pengurusan empangan itu mengeluarkan arahan supaya kawasan itu ditutup kepada orang awam dan pelancong.

Kebanyakan mereka yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan perkhidmatan bot serta rumah bot di situ bimbangkan masa depan keluarga terutama anak yang masih bersekolah apabila arahan itu mula dikuatkuasakan Isnin ini. (15 Jun).

Pengusaha bot, Ibrahim Mat Amin, 44, berkata walaupun arahan itu belum dikuatkuasakan, jumlah pelancong yang datang ke situ sudah semakin berkurangan sehingga memberi kesan kepada pendapatan mereka dan peniaga makanan di situ.

Katanya, dia dan rakan lain sudah mengemukakan rayuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong serta Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, selain Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Noor Othman dan kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula arahan itu.

"Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada lagi maklum balas daripada pihak berkenaan. Kita bukan mahu melawan arahan kerajaan, tetapi sangat berharap dan memohon supaya faham keadaan kami sebagai pengusaha bot yang sudah lama mencari rezeki di sini. Bayangkanlah nasib keluarga kami apabila hilang mata pencarian nanti.

"Saya juga tidak faham mengapa selepas sekian lama kawasan ini dibuka untuk kunjungan pelancong, tiba-tiba kerajaan mengeluarkan arahan supaya tidak membenarkan pelancong atau orang awam masuk ke sini dengan alasan faktor keselamatan. Sedangkan, di Pengkalan Gawi yang juga menempatkan empangan tidak ada pula larangan seperti ini, malah tiada pengawal keselamatan pun.

"Kami kesal, sedih dan kecewa dengan apa yang menimpa. Kerja ini menjadi sumber pendapatan kami sejak sekian lama sehingga ada di kalangan kami sudah mampu memiliki bot sendiri yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit hasil pendapatan sebagai penyedia perkhidmatan bot," katanya.

Selain Pengkalan Gawi sebagai pintu masuk pelancong ke Tasik Kenyir, Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud antara satu lagi tarikan sebagai destinasi pelancongan yang sangat digemari pengunjung.

Mengikut notis penguatkuasaan itu, arahan mencegah kemasukan pelancong ke empangan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri. Larangan itu dibuat bagi mencegah kegiatan seperti espionaj (intipan dan risikan) serta sabotaj.

Oleh itu, semua pengusaha bot diarahkan beroperasi di Pengkalan Gawi dan hanya pengusaha bot berdaftar dengan stesen itu dibenarkan menggunakan laluan di empangan itu, tetapi menutup sepenuhnya kawasan itu daripada kunjungan pelancong.

Mustaffa Sulaiman, 57, berkata, jika kawasan itu ditutup kepada pelancong, ia bukan saja merugikan pengusaha bot, malah usaha kerajaan negeri menyediakan pelbagai tarikan pelancongan di situ, termasuk projek Santuari Kelah akan menjadi sia-sia.

Beliau berkata, faktor jarak destinasi pelancongan itu yang lebih dekat dengan kedudukannya terletak hanya 14 kilometer (km) dari pekan berbanding jarak sejauh lebih 40 km ke Pengkalan Gawi menyebabkan kawasan itu didatangi ramai pelancong yang mahu menyaksikan keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia itu.

"Bukan kami saja yang akan hilang mata pencarian, tetapi juga pekerja kami. Kerajaan negeri buat Santuari Kelah di Kampung Jenagor iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kalau melarang kawasan ini dikunjungi pelancong, apa jadi dengan projek yang dibanggakan itu?

"Walaupun kami sebagai pengusaha bot berdaftar dibenarkan menggunakan laluan di empangan ini dan meletakkan bot di sini, apa gunanya jika tidak boleh membawa pelancong? Itulah kerja yang kami lakukan selama ini untuk meraih pendapatan menyara keluarga," katanya.

Peniaga makanan, Sabariah Kadir, 40-an, yang sudah 14 tahun menjalankan perniagaan di situ berkata, pendapatan perniagaan diperolehnya di situ banyak membantu menampung sara hidup dan keperluan hariannya, apatah lagi dia turut menjaga anak saudara yang kematian ibu baru-baru ini.

"Saya seronok berniaga di sini. Walaupun pendapatannya tidaklah sebesar mana iaitu antara RM100 hingga RM250 sehari bergantung pada musim cuti dan jumlah pelancong yang datang, ia banyak membantu,” katanya. BHarian

No comments:

Post a Comment