Wednesday, May 27, 2009

MTPNT anjur bengkel produk pelancongan

KUALA TERENGGANU 26 Mei - Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) akan menganjurkan Bengkel Pembangunan Produk Pelancongan di Lake Kenyir Resort & Spa di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selama dua hari bermula esok.

Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu Chapter itu adalah untuk memberi pendedahan terhadap konsep perancangan, pembangunan dan pengurusan produk industri itu.

Pengurus Acara MTPNT, Muhamad Rapi Kori berkata, bengkel itu akan memberi penekanan kepada tarikan produk-produk dan sumber pelancongan di negeri ini.

''Pihak penganjur juga akan memberi bimbingan kepada peserta mengenai teknik-teknik memasarkan pakej pelancongan yang sedia ada supaya ia menepati kehendak pasaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi kertas kerja dan langkah-langkah bagi mengemas kini produk serta pakej pelancongan, ia akan menjadikan pemasaran mereka berkesan dalam menarik minat pelancong.

Ini kerana katanya, industri pelancongan negara sedang mengalami perkembangan pesat dari segenap segi dan ia merupakan cabaran kepada agensi pelancongan.

Jelasnya, mereka perlu mengikuti perkembangan ini secara serius dan bersedia mengemaskini produk dan pakej pelancongan serta kaedah pemasaran yang terkini.

Beliau memberitahu, majlis penutup bengkel itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib.

No comments:

Post a Comment